PETUA ATASI BENGKAK SUSU
Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi tentu pernah
sekurang-kurangnya sekali mengalami masalah ini. Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja
tahu kesakitan yang perlu ditanggung. Bagaimana cara mengatasi masalah ini?
Dapatkan maklumat lanjut di bawah.
Biasanya apabila sudah terjadi bengkak susu, cara
mengepam payu dara tidak dapat menyelesaikan masalah. Seolah-olah saluran susu
itu tersumbat hingga menyebabkan susu yang dipam tidak keluar. Hanya hisapan
secara langsung daripada bayi sahaja dapat menghilangkan masalah bengkak susu.
Ingatlah bahawa payu dara bengkak adalah tanda yang
positif, iaitu anda sedang menghasilkan susu untuk bayi anda. Masalah bengkak
susu disebabkan oleh hormon lacta (hormone susu) banyak dihasilkan pada waktu
tengah malam hingga ke subuh.
Cuba amalkan petua berikut apabila ibu mengalami masalah
bengkak susu.
1. Pakailah
coli menyusu yang memberi sokongan, termasuk pada waktu malam. Pastikan ia
benar-benar padan dan tidak terlalu ketat.
2. Susukan
bayi anda dengan kerap, iaitu setiap dua atau tiga jam, walaupun terpaksa
mengejutkan bayi anda daripada tidur. Pastikan bayi menyusu daripada kedua-dua
belah payu dara pada setiap penyusuan. Cuma pastikan sebelah yang pertama tadi
telah dihisap sepenuhnya sebelum memberikan yang sebelah lagi. Pada sesi
penyusuan yang berikutnya, mulakan dengan sebelah payu dara yang terakhir
dihisap.
3. Mungkin
sukar untuk bayi melekap pada payu dara ibu apabila areola, iaitu kawasan kulit
gelap di sekeliling puting, sangat keras. Untuk memastikan bayi melekap dengan
betul, perah dengan tangan atau pam susu keluar sehingga areola menjadi lembut.
Satu cara untuk memudahkan pengeluaran susu ialah dengan
meletakkan tuala panas di dada, ataupun mandi dengan air suam sebelum memerah.
Air suam mandian itu sendiri mungkin boleh menyebabkan susu keluar dengan
sendirinya dan dapat melembutkan areola. Ini mungkin akan memakan masa.
Sabarlah, dan teruskan mencuba!
4. Semasa bayi
sedang menyusu, urut payu dara yang sedang dihisapnya perlahan-lahan. Ini dapat
membantu pengaliran susu dengan lebih lancar dan turut melegakan sedikit
ketegangan dan ketidakselesaan pada payu dara.
5. Jika payu
dara terlalu penuh dengan susu, menggunakan pam sekali-sekala untuk
mengeluarkan susu berlebihan adalah elok dan tidak akan memburukkan keadaan.
Penghasilan susu yang berlebihan hanya akan berlaku jika si ibu mengepam lebih
daripada keperluan bayinya sedangkan bayi itu sudah menyusu dengan baik.
6. Menyikat
payu dara yang bengkak (sikat menghala ke puting).
7. Sesetengah
wanita mendapati, meletakkan daun kubis segar pada payu dara boleh membantu
melegakan kesakitan, walaupun tiada bukti untuk menyokongnya. Daun kubis itu
mungkin ada kesan penyejukkan tetapi ia tidak dapat mengubati penyebab sebenar
payu dara bengkak iaitu susu tidak dikeluarkan daripada payu dara dengan
efisien (buat sesekali sahaja kerana jika diamalkan selalu boleh menyebabkan
susu kering).
8. Ambil cuka
makan dan campurkan dengan air di dalam piring. Ambil kapas, celup dan sapu
pada sekeliling payu dara. Jangan sampai terkena bahagian puting. Lakukan
setiap hari sehingga tiada lagi masalah bengkak.
9. Ambil
beberapa helai daun sirih dan disapu minyak zaitun di permukaan hadapan. Layur
daun sirih tersebut di atas tudung periuk. Tekap pada payu dara bila daun
agak-agak suam. Selain daripada melancarkan pengeluaran susu, ia juga
mengurangkan rasa sakit bengkak.
10. Urut payu dara
sedikit sebelum mengepam. Buat urutan membulat seperti pemeriksaan payu dara
pada kawasan yang ada rasa berketul-ketul.
Kredit To :PaMa
0 comments:
Terima Kasih atas kesudian anda melawat blog saya, saya akan balas dan jejak blog anda kembali InsyaAllah