ADAB MANDIKAN BAYI BARU LAHIR...

9/08/2013 damiaamna 0 Comments


Penyusuan
Bayi baru lahir adalah khalifah Allah yang baru menjengah dunia selepas sembilan bulan tinggal di alam rahim. Justeru ibu bapa yang beragama Islam mestilah menyambut kelahirannya mengikut cara yang dianjurkan oleh Islam.

 

 Antara yang mungkin kita semua tidak beri perhatian adalah tatacara memandikan bayi baru lahir iaitu dari usia sehari hingga 40 hari. Dalam tempoh ini, kaedah mandian memainkan peranan penting dalam membentuk aliran darah dan pembentukan tulang yang baik.

 

 1. Seeloknya mandikan bayi pada waktu dhuha, kerana pada waktu tersebut fisiologi kitaran darah dan degupan jantung bayi dalam keadaan tenang. Gunakan air yang suam.

 

 2. Siraman pertama perlu dimulakan ke atas belakangnya secara perlahan-lahan, kemudian baru disiramkan ke kaki, seterusnya naik ke bahagian punggungnya.

 

 3. Belaian dan gosokan lembut memainkan peranan penting semasa memandikan bayi. Ini akan membuatkan pengaliran darah bayi lancar dan baik. Siraman disertakan dengan sapuan sabun yang sesuai untuk bayi.

 

 4. Seterusnya siram dari belakang hingga ke kepala. Siraman di kepala dilakukan secara perlahan, supaya air tidak mengalir masuk ke dalam lubang telinga. Semasa menyiramkan air di belakang kepala ke bahagian hadapan dahi, tangan digunakan untuk menggosok dahi.

 

 5. Sebaiknya tugas memandikan bayi dilakukan oleh BAPA. Sambil memandikan, hati berzikir Ya Latif, Ya Hadi.

 

 6. Pastikan siraman tidak dilakukan pada muka bayi kerana ia boleh melemaskan bayi serta menyebabkan lubang hidungnya lembap seterusnya mudah selesema atau jangkitan kuman.

 

 7. Siraman yang terakhir, dilakukan ke atas dada seterusnya hingga ke bawah. Tidak digalakkan menyapu sabun pada bahagian hadapan tubuh bayi usia ini, kerana bimbang air dan sabun menyebabkan bahagian pusatnya lembap dan seterusnya melambatkan proses ‘gugur’ tali pusat.

 

 8. Selepas selesai mandi, lapkan seluruh badan bayi dengan tuala yang bersih. Cara mengelap dimulakan dari kepala kerana kelewatan mengelap bahagian kepala boleh menyebabkan kepala dan ubun-ubun bayi basah serta membawa masalah paru-paru lemah.
 
 
Apakah suhu yang sesuai untuk air mandian bayi saya?

Pastikan air mandian bayi suam dan selesa tetapi tidak panas sebelum memasukkan bayi anda ke dalamnya. Air yang dipanaskan sehingga 37 darjah C adalah paling sesuai.

 Anda boleh membeli termometer untuk menentukan suhu air mandian itu. Sesetengah termometer direka bentuk seperti mainan mandi bayi yang selamat dan menyeronokkan. Jika anda tidak mempunyai termometer, celupkan siku anda ke dalam air untuk menguji samada ia terlalu panas atau terlalu sejuk.

 Tuangkan air sejuk ke dalam besen dahulu, kemudian barulah air panas. Ini akan mengurangkan risiko melecurkan bayi anda. Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda dalam besen atau tab semasa air paip sedang mengalir. Suhu air boleh berubah dengan pantas.

 Jika anda menggunakan tab orang dewasa, tutupkan semua kepala paip. Ajar bayi anda supaya tidak menyentuh kepala paip. Walaupun dia masih tidak tahu membuka paip ketika ini, tetapi tidak lama lagi dia akan mempunyai cukup tenaga untuk membukanya, dan dia boleh melecurkan kulit sendiri.

 Jika anda mempunyai kedua-dua kepala paip air panas dan sejuk, anda boleh memasang injap kepada kepala paip panas yang mencampurkan air. Ini akan mengawal suhu air supaya tidak terlalu panas apabila ia keluar daripada kepala paip. Kanak-kanak boleh melecur darjah kedua dan ketiga dalam beberapa saat sahaja dia berada dalam air yang terlalu panas.

 Walaupun air mandiannya mungkin suam, suhu badan bayi anda boleh menurun dengan pantas apabila anda keluarkannya daripada air, jadi pastikan bilik anda panas dan selesa. Apabila mengangkat bayi daripada besen mandi, balutkan dia dengan tuala dan tutup kepalanya sebelum memakaikannya lampin.

 Selepas itu, balutkan bayi dengan tuala kering atau selimutkannya sekali lagi, dan peluk dia selama 10 minit untuk memanaskan badannya. Apabila dia sudah memakai baju, balutkan dia dalam selimut yang kering dan suam.

 

 

Berapa dalamkah sepatutnya air mandian itu?

Untuk bayi baru lahir sehingga usia enam bulan, isikan besen sedalam kira-kira 13 sentimeter (5 inci). Atau pastikan air cukup untuk bayi berbaring dalam air dengan bahunya betul-betul terendam.

 Jangan sekali-kali meletakkan bayi yang lebih besar dan juga anak kecil dalam air yang kedalamannya lebih tinggi daripada pinggang mereka (posisi duduk). Dan jangan sekali-kali meletakkan bayi anda dalam besen atau tab semasa air sedang mengalir. Kedalaman air boleh naik sehingga menjadi terlalu dalam.

 

Bagaimanakah cara memegang bayi dengan selamat di dalam air?

Anda mungkin mahu menggunakan alat penyangga untuk membolehkan tangan anda mencuci badan bayi dengan bebas. Jika bayi anda belum boleh duduk, endul mandi bayi akan membendungkan bayi di dalam air. Jika dia sudah boleh duduk sendiri, anda boleh menggunakan kerusi mandi bayi.

 Sentiasalah berada di samping bayi semasa dia sedang mandi, samada anda menggunakan besen atau penyangga mandi. Bayi boleh lemas dalam air yang kurang daripada 3 sentimeter, dan dalam beberapa saat sahaja bayi boleh tergelincir ke dalam air dan tak berupaya menyelamatkan diri. Walaupun dengan penggunaan alat sokongan semasa mandi, bayi masih boleh lemas atau mengalami kecederaan yang serius jika ditinggalkan berseorangan.

 Jika anda menggunakan tab mandi, letakkan pelapik getah di lantai tab. Tatkala bayi anda sedang membesar, latih supaya dia duduk diam dalam tab pada bila-bila masa. Ini dapat mengelakkannya daripada berdiri, tergelincir atau hilang imbangan.

 

 

Berapa kerapkah harus saya mandikan bayi saya?

Terpulang kepada anda berapa kerap anda mahu memandikan bayi anda. Waktu mandi boleh menjadi acara harian yang seronok dan relaks bagi anda dan bayi anda. Tetapi, jika anda tidak mahu memandikan bayi anda setiap hari, sekali atau dua kali seminggu adalah sesuai semasa bulan pertama.

 Asalkan anda mengelap seluruh badannya dari atas ke bawah, dan membersihkan semua kotoran yang dapat dilihat pada hari-hari dia tidak dimandikan, bayi anda sudah cukup bersih.

 Apabila bayi anda berusia dua bulan anda mungkin mahu menjadikan mandi sebagai sebahagian daripada rutin tidur bayi. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu membasuh rambut bayi setiap hari. Rambutnya mengeluarkan hanya sedikit minyak sahaja, jadi sekali seminggu sudah memadai.

 Gunakan sabun lembut dan tidak mengandungi pewangi atau produk cecair mandian bayi dengan pH neutral. Jika kulit bayi anda terasa kering atau kemerahan, anda boleh mencampurkan sedikit emolien mandi ke dalam air mandian. Menggunakan emolien boleh membuatkan kulit bayi anda licin, jadi peganglah bayi anda dengan kukuh tetapi lembut semasa dia di dalam air.

 

Adakah selamat untuk berkongsi tab mandi dengan bayi saya?

Adalah selamat untuk berkongsi tab mandi dengan bayi anda apabila dia berusia dua bulan, selagi anda yakin boleh memegangnya dengan baik. Anda akan memerlukan seorang berdekatan untuk membantu menghulurkan bayi kepada anda dalam tab, dan mengambilnya daripada anda semasa anda keluar daripada tab.

 Sebagai alternatif, suami anda boleh masuk bersama bayi dalam tab, dengan anda membantu. Tiada yang boleh menandingi sentuhan kulit-ke-kulit untuk mengukuhkan ikatan antara bapa dan bayi.

 Sesiapa yang akan bersama bayi dalam tab mestilah mandi atau mencuci badannya terlebih dahulu. Kemudian siapkan bilik mandi dan tab mandi seperti disebutkan di atas.

 

Bolehkah saya keluar daripada bilik mandi untuk seketika?

Tidak. Jangan sekali-kali meninggalkan bayi anda dalam besen atau tab tanpa kawalan. (Ya, ini adalah penting, sebab itu kami mengulanginya sekali lagi.)

Sediakan semua yang anda perlukan untuk memandikan bayi anda sebelum bermula, iaitu tuala, sabun dan kelengkapan mandian yang lain, lampin yang bersih dan baju tidur, di tempat yang senang untuk dicapai. Jika ada orang mengetuk pintu atau jika telefon berbunyi dan anda rasa anda perlu menjawabnya, angkat bayi, balutkan dia dengan tuala dan bawa bersama anda.


Kredit to :Baby Center

 
 


 

0 comments:

Terima Kasih atas kesudian anda melawat blog saya, saya akan balas dan jejak blog anda kembali InsyaAllah